akademik dan akhlak.
AKADEMIK DAN AKHLAK : Mana Lebih Penting ?
Adakah Sekolah kita, telah melahirkan generasi pelajar kurang berdisiplin dan kurang bermotivasi sehingga setiap masa pihak sekolah, khususnya Pihak Pentadbir dan Badan Pengawas perlu mengajar, memarahi, mendenda, mengambil tindakan disiplin seperti gantung sekolah, hukuman rotan serta mengadakan program demi program seperti Kempen Menghormati Guru dan sebagainya?
Kelab Pencegahan Jenayah cuba untuk merungkaikan persoalan-persoalan ini.
Persoalan
Jika jawapannya 'tidak', kenapa pula pelbagai bentuk tindakan, hukuman atau dendaan serta pelbagai program perlu dilancarkan dan jika jawapannya 'ya', kenapa boleh jadi begitu?
Adakah pendidikan kita hanya memberikan penekanan pada kejayaaan kademik sehingga lupa kepada pembinaan sahsiah yang baik serta disiplin yang tinggi?
Hari ini, bermula di peringkat sekolah rendah, ternyata kita hanya memberikan sanjungan yang berlebihan kepada mereka yang berjaya dalam bidang akademik.
Suasana tidak menunjukkan bahawa mereka yang berdisiplin tinggi dan berakhlak mulia dijadikan contoh kepada kejayaan kepada pelajar-pelajar lain. Kini kekayaan dan kejayaan seseorang dari segi material dipandang tinggi tanpa melihat kepada peribadi mereka.
Tidak hairanlah jika kita melihat ada kalangan masyarakat kita yang mempunyai kedudukan tinggi dalam satu-satu bidang terlibat dengan rasuah.
Jika akhlak dipandang remeh, maka terjadilah apa yang kita katakan sikap kurang berdisiplin dan berakhlak membiak begitu sihat dalam kalangan kita.
Kita sering terbaca dan mendengar berita mengenai 'Mat Rempit' melanggar nenek tua. Kita terbaca kisah pelajar dipenjarakan kerana tuduhan rogol. Kita terbaca pelajar buli rakan. Kita terbaca pelajar pukul guru.
Malah di sekolah kita juga, suatu masa dahulu kita pernah dikejutkan dengan isu-isu pelajar menghina dan melempar seorang Mak Cik penjaga tandas, kita pernah dikejutkan dengan berita pelajar membuang seluar dalam ke dalam tangki pam tandas pelajar lelaki, kita pernah disajikan dengan isu papan tulis di kelas dikopak dan dirosakkan, kita pernah dihidangkan dengan kes pelajar kencing di dalam kelas dan banyak lagi.
Kempen saja tidak memadai jika kebanyakan pelajar tahun 6 gagal menunjukkan contoh yang baik kepada adik-adik pelajar yang lain. Contoh, yang baik datang daripada diri kita sendiri. Bagaimana adik-adik pelajar tahap 1 atau 2 mahu menghormati abang atau kakak pelajar tahun 6 jika mereka membuli atau menunjukkan contoh teladan yang kurang sopan. Pendek kata, tidak ada yang lebih indah melainkan `abang atau kakak hormat adik' dan 'adik hormat abang atau kakak'.
Hari ini pihak pentadbir mahupun guru-guru kita, berasa amat kecewa melihat kita kurang menghormati guru, kurang menunjukkan disiplin dan moral serta akhlak yang baik. Lebih-lebih lagi jika kita tidak menunjukkan perubahan sama ada perubahan prestasi akademik mahupun prestasi disiplin serta akhlak kita.
Apapun tindakan, hukuman, program atau kempen yang dilakukan oleh pihak sekolah, KPJS pasti, itu semua hanya membazirkan wang pihak sekolah dan masa guru-guru sahaja jika semua pelajar yang ada di sini termasuk saya, gagal memberikan dan menunjukkan penekanan sahsiah yang baik setanding dengan usaha mencapai kejayaan akademik.
Anda mungkin setuju dengan pandangan saya bahawa guru-guru kita lebih bangga melihat seorang pelajar berkelulusan rendah tetapi mempunyai disiplin dan budi pekerti yang tinggi, daripada pelajar yang mempunyai prestasi akademik yang tinggi tetapi bersikap 'hidung tinggi'.
Malah guru besar dan semua guru akan bertambah bangga jika kita mampu memiliki prestasi pelajaran yang cemerlang dan memiliki akhlak yang gemilang.
Kesimpulan
Jika ini berlaku, KPJS pasti dan amat pasti, guru-guru khususnya guru disiplin, tidak perlu lagi banyak membazirkan masa mereka untuk mengambil tindakan disiplin dan hukuman kepada kita yang sering melanggar peraturan sekolah dan pihak sekolah juga tidak perlu lagi membazirkan wang mengadakan pelbagai program membentuk sahsiah dan disiplin kita, malah masa guru dan wang sekolah boleh dihabiskan sepenuhnya untuk meningkatkan prestasi akademik kita.
Mungkin ini sesuatu yang terlalu ideal. Satu impian KPJS yang terlalu besar. Tetapi tanpa impian, kenyataan tidak akan kesampaian.
Tanpa 'peraturan' pelajar-pelajar tidak ada hala tuju dan tidak
mengetahui norma-norma sosial yang menjadi adapt pegangan masyarakatnya
0 comments:
Post a Comment